Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

KPDN Selangor Serbu Premis Simpan Barang Tiruan

By 10 April 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor

SHAH ALAM, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyerbu dua buah premis menyimpan dan menjual barangan jenis beg tangan berjenama tiruan bernilai RM1 juta dalam satu operasi di sekitar Klang, hari ini.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata operasi hasil risikan selama dua minggu berhubung aktiviti mencurigakan melibatkan cap dagangan yang diwakili.

“Anggaran jumlah barangan yang ditemui dalam serbuan ini yag melibatkan dua premis  dianggarkan mencecah 10,000 unit beg tangan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1 juta.

“Berdasarkan rekod tindakan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, tindakan kes pada hari ini melibatkan nilai rampasan terbesar pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zuhairi, pihaknya menyita barang rampasan dan menahan empat orang warganegara Malaysia berumur dalam lingkungan 18 hingga 38 tahun.

“Kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 102(1)(c), Akta Cap Dagangan 2019 iaitu melibatkan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100, Akta Cap Dagangan 2019.

“Jika disabitkan bersalah bagi individu denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap satu barang atau penjara tidak lebih tiga tahun , atau kedua-duanya sekali manakala bagi pertubuhan atau syarikat, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap satu barang,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda