Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pengalaman Menjahit Lebih 30 Tahun, Tiada Masalah Siapkan Tempahan Baju Raya Sendirian

By 11 April 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)

KUANTAN, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Berpengalaman luas dalam bidang jahitan selama 31 tahun, seorang tukang jahit di daerah ini tiada masalah menyiapkan tempahan baju raya secara bersendirian.

Roshayati Ahmed, 56, berkata beliau menerima tempahan sebanyak 80 pasang baju pada tahun ini berbanding sebelum ini memandangkan beliau menjahit seorang diri sahaja.

“Sebelum ini saya ada pembantu di kedai dan semua orang tahu sejak negara dilanda wabak COVID-19 pada tahun 2020, ia menjejaskan perniagaan saya.

“Alhamdulillah, walaupun berseorangan, perniagaan saya mampu bertahan hingga sekarang,” ujarnya.

Menceritakan detik permulaan Roshayati sebagai tukang jahit, beliau mula menjahit dari rumah dan mempunyai sijil Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) yang kini dikenali sebagai Sijil Kemahiran Malaysia sebelum membuka kedai jahit di Pasar Besar Kuantan.

“Saya juga pernah membuka kelas jahitan pada tahun 2008 di bawah program Kementerian Sumber Manusia dan ketika itu saya menyewa sebuah kedai khusus untuk kelas jahitan tersebut,” katanya yang juga turut menimba ilmu menjahit melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Roshayati juga pernah menerima geran yang diberikan kepada usahawan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Untuk mendapatkan geran ini, saya perlu hadir kursus selama tiga bulan dan perlu menghasilkan satu produk berasaskan teknologi maklumat dan alhamdulillah setelah mengharungi pelbagai cabaran, saya berjaya,” katanya.

Berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang jahitan, Roshayati turut berbangga kerana anak bongsu beliau turut mengikut jejak langkahnya yang kini sedang mengikuti pengajian rekaan fesyen di Universiti Teknologi MARA Shah Alam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda