Laporan/foto: Siti Hajar Kamis(Seremban)
SEREMBAN, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Inisiatif meningkatkan jaringan komunikasi masyarakat setempat diteruskan oleh Pejabat Penerangan Daerah Seremban melalui Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA).
Mendapat kerjasama daripada Jabatan Komunikasi Komuniti, misi ini diteruskan dengan penganjuran Program JIWA sempena Program Semarak Madani Sikamat yang berlangsung selama sehari di Surau Al-Falah, Taman Desa Rhu Sikamat, di sini baru-baru ini.
Menurut Fauziah Abdullah, Pegawai Penerangan Daerah Seremban terdapat pelbagai pengisian yang disusun khusus bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat sekaligus menghayati konsep yang digagaskan kerajaan iaitu Malaysia Madani.
“Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang program ini adalah memasak dan mengedar bubur lambuk kepada komuniti serta agensi kerajaan, kursus keagamaan, taklimat isu semasa dan sebagainya.
“Penduduk juga akan berpeluang untuk berbuka puasa dan beramah mesra bersama Datuk Seri Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Selesai berbuka puasa, majlis diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah serta penyampaian sumbangan kepada Asnaf.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Dr. Mohamad Agus Yusoff dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Haji Sabarudin Yeop Hamzah.
-ZS-