
Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 14 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 300 orang telah menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Yayasan Makmur Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Batu Pahat, semalam.
Sumbangan berbentuk barangan makanan keperluan hari raya dan duit raya sebanyak RM100 itu diberi bagi memperkukuhkan interaksi antara pihak kerajaan melalui Yayasan Makmur Batu Pahat bersama masyarakat Batu Pahat.
“Melalui inisiatif ini, kita dapat menerapkan lagi nilai rasa kasih sayang dalam kalangan warga Batu Pahat khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi melambangkan masyarakat Batu Pahat yang harmoni, prihatin, maju dan sejahtera.
“Penerima sumbangan terdiri daripada 40 orang dipilih melalui senarai peserta eKasih manakala selebihnya iaitu 260 orang terdiri daripada 13 zon Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat yang terpilih daripada penduduk kawasan Majlis Perbandaran Batu Pahat,” kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Makmur Batu Pahat Zulkurnain Kamisan.
Penerima sumbangan, Tahir Daud, 69, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Yayasan Makmur Batu Pahat kerana dapat menghulurkan sumbangan buat diri dan keluarganya.
“Inilah kegembiraan buat saya dan keluarga menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya yang berasal dari Pekan Semerah yang ditemani ibu kandungnya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Makmur Batu Pahat Ezahar Abu Sairin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Makmur Batu Pahat Nor Rashidah Ramli dan Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat.
-ZS-