Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Bacaan Terbitan DBP Berintegriti Tinggi

By 22 Mei 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar/Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini

BACHOK, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sangat menghargai dan mempercayai bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah satu-satunya institusi yang sangat menjaga integriti bahasa dan kawalan mutu yang tinggi walaupun terdapat banyak tawaran daripada penerbitan bahan bacaan yang lain.

Beliau yang ditemui di Majlis Perasmian Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Kelantan 2023 dan Pelancaran Buku Penulis Siam Kelantan di Kolej Vokasional Bachok, Kelantan, baru-baru ini menyeru agar budaya membaca diamalkan sejak kecil lagi dan setiap sekolah diharapkan dapat mengangkat bidang kesenian melalui kekuatan bahasa, seni dan budaya untuk diterokai oleh semua pelajar.

“Selepas ini setiap sekolah di semua negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia mesti terus diberikan sokongan supaya program kesenian dengan disiplin bahasa, seni dan budaya terus diangkat sebagai program utama di sekolah,” katanya.

Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Kelantan 2023 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama pelbagai agensi diadakan selama dua hari bermula pada 20 Mei hingga 21 Mei 2023 bagi menyemarakkan rasa cinta dan megah akan bahasa Melayu serta meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul.

Terdapat pelbagai aktiviti yang berkonsepkan bimbingan bahasa, didik hibur, bimbingan penulisan, penghayatan puisi, teknik bercerita, ekspresi muzik jalanan, sesi bicara buku, sembang orang muda jualan komersil, pameran agensi kerajaan, Malam Bahasa Jiwa Bangsa dan sebagainya.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka Md. Johari Hasan dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed.

-ZS-

Tinggalkan komen anda