Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor
SHAH ALAM, 25 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menahan dua orang lelaki tempatan disyaki cuba menyeludup 25,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi serbuan di Serdang semalam.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata serbuan melibatkan tujuh anggota penguat kuasa hasil risikan selama dua minggu selepas menerima aduan orang awam yang mencurigai aktiviti melibatkan bahan api.
“Semasa serbuan dilakukan, dua individu berkenaan sedang berada di dalam stor untuk memindahkan bahan api tersebut ke dalam sebuah lori tangki.
“Tangkapan telah dibuat ke atas mereka yang berumur 43 serta 52 tahun dan siasatan awal mendapati mereka mempunyai hubungan urus niaga jual beli bahan api yang dirampas di dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zuhairi selain diesel, pihaknya turut menyita sebuah lori tangki dan dua unit ‘skid tank’ serta peralatan dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM300,000.”
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
”Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah akta ini,” katanya.
-ZS-