
Laporan/foto: Dexter Cysonned (Sabah)
RANAU, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Minat mendalam terhadap alat muzik bambu membawa kepada pembukaan sebuah galeri di Kundasang, di sini.
Menurut Pengerusi Taman Budaya dan Inovasi Kundasang, Khamarul Azman, 27, pembinaan galeri tersebut bermula pada tahun 2020.
“Saya mula membina taman budaya ini ketika wabak COVID-19 masih serius iaitu dengan melakukan pembersihan tapak budaya secara perlahan-lahan.
“Saya sendiri menubuhkan dan membina taman ini dengan ilmu bertukang yang saya pelajari dahulu.
“Saya yakin tempat ini menjadi tumpuan orang untuk mempelajari alat muzik tradisional,” katanya ketika ditemui di Taman Budaya dan Inovasi Kundasang, baru-baru ini.
Tambahnya, dengan adanya taman ini peralatan muzik tradisional seperti Kulintangan, Seruling dan Sompoton dapat dipelihara, dipelajari dan dimainkan oleh masyarakat yang datang ke Taman tersebut.
“Kami baru sahaja bermula dan masa operasi taman budaya ini juga hanya melalui temu janji setakat ini,” kongsinya.
Khamarul Azman pernah mewakili Malaysia di pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada tahun 2016 di Amerika Syarikat dan berjaya membawa tiga pingat emas.
-ZS-