Laporan/foto: Norhasirah Deris (Marang)
MARANG, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Setiap kali apabila tiba cuti umum, sama ada cuti perayaan mahupun cuti penggal persekolahan, Pulau Kapas akan terus menjadi tumpuan pelancong berikutan orang ramai yang mengambil peluang ke pulau peranginan itu untuk bercuti bersama keluarga.
Seorang petugas kaunter pakej Ombak Kapas, Badlin Rudayini, 20, berkata arah aliran ini mula tercetus sebaik sahaja rakyat di negara ini bebas daripada dikurung selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.
“Aktiviti bercuti ke Pulau Kapas ini semakin rancak apabila negara beralih kepada fasa endemik di mana orang ramai mengambil peluang melepaskan rasa bosan dengan bercuti ke pulau untuk beristirehat bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di kaunter pendaftaran Ombak Kapas, Jeti Pulau Kapas, di sini.
Tambah Badlin, selain pengunjung tempatan, pulau yang terletak di daerah Marang ini sentiasa menjadi tumpuan pelancong asing yang datang bercuti bersama keluarga masing-masing.
Bagi seorang penjual barangan cenderamata, Roslinda Sulaiman, 29, jualannya yang kurang laku kini semakin rancak dengan kedatangan pengunjung tempatan serta pelancong asing.
“Dulu hendak jual cenderamata pun tiada semangat memandangkan keadaan di Jeti Pulau Kapas ini sunyi sepi kerana tiada pengunjung kerana kedai sentiasa ditutup bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib,” katanya.
Roslinda menambah, peniaga sepertinya tertunggu-tunggu musim perayaan dan musim cuti sekolah kerana waktu itulah pengunjung ramai datang untuk bercuti.
“Faktor utama Pulau Kapas menjadi pilihan orang ramai kerana kedudukan lokasinya antara yang paling dekat dengan daratan iaitu hanya dua kilometer manakala jarak perjalanan dengan menaiki bot laju pula sekitar 15 minit sahaja,” katanya.
-ZS-