Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Mohammad Ezwandi (Perak)
KUALA KANGSAR, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 150 peserta termasuk 50 orang pelajar berpadu tenaga menjayakan Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS), di Taman Eko Rimba Ulu Kenas, di sini baru-baru ini.
Gabungan kerjasama antara peserta dapat dilihat menerusi program ziarah kasih yang dibuat di sekitar kampung berhampiran selain aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan di tapak program.
Penglibatan 50 pelajar dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Ipoh turut disambut baik oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi.
“Saya melihat penyertaan golongan anak muda ini sebagai satu perkara yang baik.
“Melalui program sebegini, mereka dapat melihat bagaimana dasar dan inisiatif kerajaan dibawa dan diuar-uarkan kepada masyarakat,” katanya.
Pengarah Penerangan Negeri Perak Mohd Rizal Hashim pada masa sama meluahkan rasa syukur dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua.
“Penganjuran KOMTIS merupakan kolaborasi strategik antara jabatan dan agensi kerajaan mahupun NGO. Untuk kali ini, kita melibatkan golongan belia.
“Selaras dengan peranan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk memerangi berita palsu dan ‘scammer’, jabatan berharap supaya menerusi program seumpama ini, golongan belia mendapat maklumat yang tepat, memahami dasar kerajaan dan mereka turut didedahkan dengan cara-cara untuk menangani berita palsu,” katanya.
-ZS-