Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JPPKK
PUTRAJAYA, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memperkenalkan kaedah pendidikan yang lebih fleksibel dan dinamik bagi menarik lebih ramai belia mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketua Pengarah JPPKK Dr Mohd Zahari Ismail, berkata ia mencakupi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bukan lulusan SPM, mereka yang sedang bekerja, golongan B40, warga emas, orang kurang upaya (OKU) atau warga pusat pemulihan.
“Ramai belia dan lepasan SPM kurang berminat menyambung pengajian disebabkan ledakan ekonomi ‘gig’ ekoran perubahan ekonomi semasa global khususnya pasca COVID-19.
“Kita faham situasi ini namun para belia perlu ada perancangan masa hadapan yang lebih progresif dan kerjaya yang menjamin pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari TVET POLYCC 2023 di sini semalam.
Sementara itu, Dr Mohd Zahari turut menyeru lepasan SPM untuk turut memilih Program Asasi TVET yang baharu diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi di lima buah politeknik perintis bagi pengambilan pertama Sesi I 2023/2024.
“Pembangunan kurikulum Program Asasi TVET direka bentuk dengan memberi penekanan kepada elemen amali dan praktikal,” ujarnya.
Ahad lalu, media melaporkan hanya 40 peratus daripada 500,000 lepasan SPM melanjutkan pengajian ke tingkatan enam, institusi pengajian tinggi (IPT) atau TVET setiap tahun.
-ZS-