Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman (KOPKEM) telah mengadakan majlis perasmian perniagaan francais Ar-Rahnu X`Change miliknya, di sini semalam.
Perasmian program dibuat oleh Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Amran Abdul Kadir yang turut dihadiri oleh Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman Yahaya Mamat.
Menurut Amran Abdul Kadir, Ar-Rahnu X`Change Chukai merupakan rangkaian ke-80 daripada francais pajak gadai Islam Bank Rakyat yang diuruskan oleh francaisor Rakyat Management Services Sdn. Bhd. (RMS), anak syarikat milik penuh Bank Rakyat.
“Komitmen yang tinggi dalam melaksanakan mandat untuk membangunkan perniagaan koperasi telah meletakkan Ar-Rahnu X`Change sebagai perniagaan francais pajak gadai Islam nombor satu di Malaysia ini dan pada masa yang sama meletakkan jenama Ar-Rahnu X`Change kukuh berdaya saing menerusi 81 rangkaian di seluruh negara dengan sokongan 42 buah koperasi,” katanya.
Tambahnya, Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman pada awalnya beroperasi di Jalan Injin Gergaji, Chukai dengan keanggotaan seramai 249 anggota pada Jun 1980 telah meningkat kepada 947 orang pada masa kini.
“Antara aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh KOPKEM ialah pengurusan dan pajakan ladang sawit berkeluasan 1,000 ekar, pemborongan, peruncitan melalui jenama COOP Mart dan juga pembinaan.
“Selain objektif keuntungan perniagaan, KOPKEM turut melihat pembukaan Ar-Rahnu X`Change di Chukai ini sebagai tanggungjawab koperasi untuk menyediakan alternatif perkhidmatan mikro kredit tunai segera patuh syariah kepada penduduk sekitar daerah ini,” katanya.
-ZS-