Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Gotong-Royong Mega Perangi Aedes

By 24 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahari Zakaria (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up bersempena Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya hari ini.

Taman Sri Rambai, Padang Lalang merupakan lokasi pertama yang menjadi pilihan bagi pelancaran program dan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), jabatan dan agensi kerajaan serta bukan kerajaan yang telah menjayakan program tersebut.

“Program ini adalah strategi penting bagi membanteras wabak denggi dan semua pihak perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan khususnya di luar rumah kerana denggi boleh mengancam nyawa dan tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Chow juga berkata program sebegini dapat meningkatkan tanggung jawab awam terhadap pencegahan wabak denggi.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi tumpuan kepada wabak denggi dan perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat negeri,” ujarnya.

Pada program ini juga turut diadakan pameran daripada agensi dan jabatan kerajaan seperti MBSP, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai denggi dan program kitar semula.

Aktiviti Aedes Hunt juga telah diadakan sebagai satu acara program di mana peserta dibahagikan mengikut kumpulan bagi mencari dan menghapuskan tempat pembiakan jentik-jentik.

Turut hadir , Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap ADUN  Padang Lalang Chong Eng,  Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Kamarul Haizal Koderat, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Azizah Ab. Manan dan  Pengarah Penerangan Negeri Sabri Said.

-ZS-

Tinggalkan komen anda