Laporan/foto: Mohd Zahari Zakaria/Ariza Mohd Zaki (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Jelajah Ketua Menteri Pulau Pinang di Parlimen Permatang Pauh pada tahun ini diteruskan lagi dalam program ‘CM Chow Jelajah Love Penang 2.0 DUN Permatang Pasir’.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata program jelajah yang diadakan ini adalah salah satu cara pemimpin untuk mendekati masyarakat setempat dan juga memantau pembangunan yang ada di kawasan yang dilawati.
“Selain itu, program sebegini dapat memastikan setiap masalah yang ada di akar umbi dapat diketahui dan seterusnya diberi perhatian oleh pemimpin”, ujarnya.
Pada program tersebut Chow Kon Yeow turut membuat pelepasan konvoi motosikal yang akan turut serta di dalam jelajah seterusnya ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
Program di GiatMARA Permatang Pauh turut mengadakan pelbagai aktiviti dan tawaran perkhidmatan daripada GiatMARA seperti gunting rambut, tukar minyak enjin motosikal, mengurut kaki dan demontrasi masakan kepada masyarakat setempat secara percuma.
Turut hadir Ahli DUN Permatang Pasir Faiz Fadzil, Pengurus Kanan GiatMARA Prima Tasek Gelugor Mohamad Ferdaus Mohd Rodzi, Pengurus GiatMARA Permatang Pauh Siti Rozaina Mohd Rodzi dan Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Zul Kamal Hassan.
-ZS-