Laporan/foto: Zuriatina Tamat/Norsaedah Haron
KLUANG, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Koperasi Usaha Anak Felda Berhad (KUAF) yang bertapak di Felda Ayer Hitam, di sini telah menjadi perintis tanaman lemon di Malaysia dengan objektif penghasilan pelbagai produk hiliran seperti produk penjagaan diri, penjagaan rumah, penjagaan kereta dan lain-lain.
Pengurus Felda Ayer Hitam, Hazwan Harun, 35, berkata projek tanaman lemon ini merupakan salah satu Projek Pembangunan Peneroka (PPP) yang awal dan ianya bertujuan untuk memperkukuh ekonomi peneroka setempat.
“Pihak FELDA menyokong penuh usaha yang dilakukan KUAF dengan menyediakan tanah di FELDA ini untuk tanaman permulaan juga lebih kurang RM120 ribu untuk bantuan peralatan,” ujar beliau.
Menurut Pengerusi KUAF Alizan Amin, 48, projek tanaman lemon ini telah dimulakan pada Mac 2020 dengan penanaman 400 pokok untuk fasa pertama diikuti dengan penanaman 1,000 pokok pada fasa kedua di tapak tanah seluas lima ekar yang telah diluluskan oleh pihak Felda Ayer Hitam.
“Selain tanaman lemon di Felda Ayer Hitam ini, KUAF mensasarkan penanaman sehingga 10,000 anak benih pokok lemon melalui ‘Ladang Kontrak’ agar hasil daripada tanaman ini nanti KUAF dapat membeli semula untuk menghasilkan pula produk-produk hiliran seperti sabun mandi, aromaterapi, balm, pencuci baju, racun serangga, baja dan banyak lagi.
“Setakat ini kita telah menanam 4,000 anak pokok lemon dan mensasarkan 6,000 lagi anak pokok dapat ditanam dalam masa terdekat agar objektif penghasilan produk hiliran berskala besar untuk industri serta mewujudkan AgroFarm Pelancongan tercapai,” tambah beliau.
Alizan turut mempelawa mana-mana koperasi, badan-badan persatuan, serta individu yang berminat untuk bersama-sama beliau dan KUAF membangunkan Lembah Lemon Malaysia ini agar hasrat FELDA melalui PPP tercapai. Beliau boleh dihubungi melalui facebook KUAF Felda atau talian 019-7080848.
-ZS-