Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Datin Sharinah
SELAYANG, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan di dalam longkang besar di Batu 7 Jalan Rawang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata pihaknya bersama Bomba dan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah menemui mayat berkenaan selepas menerima maklumat mengenai satu objek menyerupai mayat di dalam longkang.
“Tiada sebarang dokumen diri pada tubuh badan dan sekitar kawasan tempat kejadian ditemukan.
“Mayat yang masih dalam keadaan berpakaian lengkap memakai baju lengan panjang warna putih dan seluar jeans warna hitam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Forensik HKL yang melakukan pemeriksaan ke atas mayat tersebut mendapati tiada sebarang kecederaan atau kesan pada tubuh badan mayat.
“Siasatan awal juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat telah dihantar ke HKL untuk bedah siasat,” jelasnya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Sarjan Shanonrizal Shamsudin ditalian 012-6900127 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.
-ZS-