Laporan/foto: Nadia Abdullah (Kluang)
KLUANG, 19 Jun (Malaysiaktif) – Majlis Pelancaran Pemerkasaan Sektor Pelesenan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor telah berlansung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, di hadiri oleh 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari seluruh daerah di Negeri Johor, di sini pagi ini.
Majlis turut dihadiri oleh semua Ketua Whip dan Ahli Majlis Daerah masing-masing itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Haji Mohd Jafni Md Shukor.
Menurut beliau, tanpa adanya Ahli Majlis dan Yang Dipertua Majlis Bandaraya serta Perbandaran setiap daerah, pihak berkuasa tempatan hari ini tidak mampu meraih pelbagai kejayaan seperti yang ada sekarang.
“Pihak Berkuasa Tempatan melalui Yang Dipertua dan Ahli Majlis perlu mencari alternatif dalam meningkatkan pendapatan PBT.
“Tumpuan juga perlu diberikan kepada permasalahan yang timbul di kawasan-kawasan panas yang berpotensi banjir dan Yang Dipertua Majlis haruslah bersedia dengan peruntukan kewangan sekiranya di perlukan.
“Tahniah juga kepada pihak PBT yang telah berjaya menaiktaraf perkhidmatan meluluskan permohonan lesen penjaja dan lesen perniagaan tidak berisiko dari 60 hari ke tempoh 24 jam sahaja,” katanya.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua 16 buah PBT yang terlibat.
-ZS-