Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Berry Taimin (Sabah)
KOTA KINABALU, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Pertandingan Civil Defense Challenge Lifeguard (CDLC) anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah diadakan untuk persiapan pasukan pertahanan awam mewakili ke peringkat kebangsaan 2023 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Latihan Kapten (PA) Abdullah Sabaruddin, ukuran pertandingan keseluruhan melibatkan disiplin dari segi kepantasan atau kelajuan mereka dalam mengendalikan sesuatu peralatan penyelamat iaitu yang memerlukan tenaga dan kemahiran.
“Contohnya acara ‘Run-Swim-Run’ iaitu berenang dan seterusnya berlari di mana acara ini memerlukan stamina yang kuat dan kemahiran berenang yang cekap dan pantas.
“Harapan daripada pihak kami semoga kontinjen-kontinjen yang mewakili ke pertandingan ini nanti dapat membuahkan hasil ataupun setidaknya memberi saingan kepada rakan-rakan penyelamat di peringkat kebangsaan,” ujarnya ketika ditemui pada Pertandingan CDLC, di Pantai Tanjung Aru semalam.
Tambahnya, seramai 206 peserta yang terlibat menyertai program ini terdiri daripada anggota pertahanan awam wakil daripada 24 Daerah di Sabah, pelajar Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sabah Cawangan Sandakan dan Politeknik Sandakan.
Sementara itu salah seorang peserta pertandingan CDLC, Gregory Gating, 24, berkata menyertai pertandingan ini sangat bersesuaian dengan tugasan mereka sebagai penyelamat pantai.
“Perasaan saya sedikit gementar ketika menyertai pertandingan yang dianjurkan namun semangat untuk memberikan yang terbaik dan saingan sihat di samping membawa nama daerah membantu saya menangani perasaan tersebut.
“Saya harap semakin ramai orang awam dan anggota APM menyertai program ini untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang keselamatan dan penyelamatan di air,” kongsinya.
-ZS-