Laporan/foto: Haliza Mohd Taib
MUAR, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan berangkat merasmikan Poliklinik Primer Sejahtera (PoPS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Universiti Pagoh, semalam.
PoPS Kampus Pagoh diwujudkan atas dasar keperluan kesihatan gunasama yang mendesak bagi warga Kampus Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP).
Raja Permaisuri Agong turut berkenan menandatangani plak dan fasiliti yang ditawarkan PoPS seterusnya berangkat ke majlis perasmian serta Sambutan Ulang Tahun ke-10 Kuliyyah Bahasa dan Pengurusan di Pusat Konvensyen HPTP.
Menurut Rektor UIAM Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, PoPs yang dahulu dikenali sebagai Pusat Kesihatan Gunasama HPTP yang terletak dalam Kampus Pagoh, UIAM kini sudah dipindahkan ke kawasan baharu dan sudah beroperasi sejak awal November tahun lalu.
“Penubuhan Pusat Kesihatan Gunasama ini adalah hasil sumbangan dana oleh Yayasan Sime Darby, manakala geran tahunan untuk emolumen dan kos operasi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Tabung Perkongsian Perubatan (TPP) iaitu daripada pelajar UIAM, UTM dan Poliklinik Tun Syed Nasir.
“Keseluruhan dana bagi membangunkan PoPs Fasa 1 ini berjumlah RM1.8 juta yang merangkumi kerja pengubahsuaian, alat kelengkapan perubatan, sistem integrasi pengurusan pesakit, sewaan premis, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah ambulans,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Datuk Dr. Haji Azmi Rohani, Timbalan Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr. Hj Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby Dr. Hjh Yatela Zainal Abidin, pegawai kanan dan kakitangan setiap agensi.
-ZS-