Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sultan Johor akan Menemui Rakyat Johor di Road Tour KMJ 2023

By 21 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menemui rakyat jelata di setiap laluan pengembaraan Kembara Mahkota Johor (KMJ) Peringkat Daerah Batu Pahat 2023 yang bertemakan ‘Setia Bangsa Johor Batu Pahat’ bermula pada 5 Ogos hingga 8 Ogos 2023.

Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md Ali, berkata sebagai warga Daerah Batu Pahat kita perlu membawa semangat untuk menyusun, mengaturkan dan melihat kepelbagaian budaya bangsa serta dapat bersama-sama mengimarahkan semangat KMJ yang akan tiba tidak lama lagi.

“KMJ merupakan program bersama rakyat dan DYMM Sultan Johor serta kerabat diraja yang akan menjelajah di seluruh pelusuk kampung.

“Pelbagai program bersama rakyat telah disusun bagi memeriahkan lagi aktiviti bersama Tuanku Sultan Johor,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Yusla Ismail, berkata program Johor Bersih juga seiring dengan hasrat serta seruan Menteri Besar Johor dalam merealisasikan dan menjadikan negeri Johor sebagai negeri yang bersih, ceria dan indah.

“Ianya juga memupuk semangat menjaga kebersihan rakyat Johor dan Daerah Batu Pahat.

“Bertumpukan lokasi KMJ Daerah Batu Pahat yang diadakan di Pusat Pertanian Parit Botak, konvoi ‘Road to Kembara Mahkota Johor’ diketuai oleh Pegawai Daerah Batu Pahat dan diiringi 22 jabatan kerajaan Daerah Batu Pahat,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar, ADUN Penggaram Gan Peck Cheng, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) Ezahar Abu Sairin, Ahli-Ahli Majlis MPBP serta Penghulu-Penghulu Mukim Daerah Batu Pahat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda