Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/KPDN (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Pameran Hadiah Malaysia ke-13 2023 (MGF2023) anjuran Persatuan Hadiah dan Cenderamata Malaysia (MGPA) membuka tirai semalam.
Pameran hadiah terbesar di Malaysia ini menghimpunkan 131 syarikat dari Malaysia, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea, India dan United Kingdom dengan menampilkan pelbagai jenis produk baharu mengikut trend terkini. Antaranya cenderahati, hadiah rekaan khas, hadiah yang mampan serta hadiah malar hijau.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, industri hadiah dan cenderamata memain peranan penting dalam perdagangan domestik Malaysia memandangkan nilai eksport industri itu mencecah RM2.15 bilion.
“Saya melihat industri ini sebagai satu potensi bagaimana perdagangan domestik juga akan dapat berkembang menarik lebih ramai pembeli dan pelabur antarabangsa di samping memperkasa perniagaan tempatan,” kata Salahuddin selepas merasmikan pelancaran MGF2023.
Beliau juga berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berasaskan ekonomi gig supaya dapat menarik perhatian golongan belia untuk melibatkan diri dalam industri hadiah dan cenderamata itu.
MGF2023 anjuran Persatuan Hadiah dan Cenderamata Malaysia (MGPA) bertemakan ‘Endlessly Inspired. Thoughtfully Curated’ itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga 22 Jun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
-ZS-