Laporan/foto: Zulkifli Othman/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menganjurkan Karnival Kesihatan Wanita, dalam usaha memberi pengetahuan mengenai pentingnya amalan gaya hidup sihat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Ahmad Shah Muhamed, berkata objektif utama kerajaan adalah menerapkan kesedaran akan kepentingan penjagaan kesihatan yang sejahtera dikalangan rakyat lebih-lebih lagi kepada golongan wanita daripada pelbagai latar belakang kerjaya, khususnya kepada golongan suri rumah.
“Golongan wanita menjadi tulang belakang kepada pembangunan insan dalam sesebuah keluarga, bermula daripada pembangunan keluarga yang sihat dan positif akan melahirkan masyarakat dan komuniti yang produktif dan sejahtera,” katanya.
Tambah beliau, usaha pihak UniSZA dalam membudayakan program berbentuk ilmiah dan perkongsian maklumat membuktikan pihak universiti memberi komitmen penuh dalam membantu kerajaan membangunkan kesedaran dan kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat.
Ketua Pusat Pengajian Sains Kejururawatan merangkap Pengarah Program Karnival Kesihatan Wanita UniSZA, Profesor Madya Dr. Zainab Mohd Shafie, berkata pengisian acara seperti lawatan ke rumah penduduk setempat memberi peluang kepada pihak universiti dan pelajar untuk mengenal lebih dekat permasalahan kesihatan yang wujud dalam kalangan orang awam sekaligus memberi masyarakat ruang dan peluang untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang kesihatan dengan lebih mudah.
Seorang pengunjung, Rohana Hussin 55, berkata program seperti ini memberi banyak kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat kesihatan secara percuma daripada golongan profesional dan pakar yang diiktiraf.
Karnival Kesihatan Wanita diadakan selama dua hari bermula 9 Jun di Dewan Arena Merdeka, di sini dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya saringan kesihatan, forum kesihatan, derma darah, demonstrasi masakan sihat, cabutan bertuah dan pameran dari jabatan-jabatan dan agensi kerajaan.
-ZS-