Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

‘Zero to Hero@Labuan’ Beri Harapan Baharu kepada Asnaf

By 22 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Program ‘Zero to Hero@Labuan’ memberi harapan baharu kepada golongan asnaf di wilayah itu dalam meningkatkan ekonomi mereka.

Program ‘Zero to Hero@Labuan’ bertujuan meningkatkan pendapatan komuniti Labuan menerusi inovasi dan kreativiti produk kraftangan bahan terbuang, produk hiliran seperti pertanian dan makanan.

Menurut salah seorang peserta kluster produk kraftangan (bahan terbuang), Norlenah Rosli, 38, mereka diberi latihan mengolah bahan-bahan terbuang menjadi kraftangan oleh tenaga-tenaga pengajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kami ditawarkan menyertai program ini oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan diberi latihan dalam pelbagai aspek untuk menjadi usahawan kraftangan.

“Selepas melalui pelbagai fasa yang mencabar dalam program ini kami berharap dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan golongan asnaf lain sekaligus membantu usaha kerajaan membasmi kemiskinan tegar di pulau ini.

“Kami ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak UPM dan MAIWP yang mencurahkan banyak ilmu kepada kami untuk menjadi usahawan yang berjaya,” katanya di sini semalam.

Program ‘Zero to Hero@Labuan’ terbahagi kepada tiga kluster iaitu kluster produk kraftangan (bahan terbuang), kluster makanan/pastri dan kluster pertanian fertigasi dianjurkan Fakulti Ekologi Manusia UPM dengan kerjasama MAIWP dan Jabatan Wilayah Persekutuan serta disokong oleh Perbadanan Labuan.

Sementara itu seorang lagi peserta Sabariyah Radin, 46, merasai perubahan yang positif dalam diri selepas melalui tiga fasa latihan dalam program tersebut.

“Kami memilik kemahiran untuk menghasilkan kraftangan daripada bahan buangan seperti kayu hanyut dan cengkerang seperti lampu hiasan, aksesori hiasan diri, cermin hiasan dan penyepit rambut.

“Produk-produk yang kami hasilkan berpotensi menjadi produk identiti Labuan dan nilai tarikan tersendiri sekaligus sebagai sumber pendapatan, kami sedang menjual produk kami serta terbuka untuk menerima tempahan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda