
Laporan/foto: Alias Jaafar/Berry Taimin (Sabah)
KOTA KINABALU, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Befrienders merupakan satu pertubuhan sukarelawan yang memberi bantuan khidmat sokongan emosi kepada orang ramai.
Menurut Presiden Majlis Kebangsaan Befrienders Malaysia, Jessie Ting, Befrienders sedia berkongsi dan membantu menyelesaikan pelbagai isu kemasyarakatan seperti masalah peribadi, keluarga dan terutama yang mengalami masalah kesihatan mental.
“Individu yang ingin mendapatkan khidmat Befrienders boleh menghubungi melalui talian atau WhatsApp 016-8036945 dan e-mel [email protected].
“Waktu operasi Befrienders bermula pukul 7.00 malam sehingga 10.00 malam setiap hari,” jelasnya ketika ditemui pada Program Influencer Jabatan Penerangan Negeri Sabah (Influencer@JaPen), di sini pada Selasa.
Tambahnya, pengadu tidak perlu risau kerana segala perbualan dan maklumat peribadi yang diajukan atau dibincangkan individu yang mendapatkan khidmat nasihat daripada sukarelawan Befrienders adalah rahsia di mana maklumat peribadi sesorang tidak akan direkodkan.
“Selain itu, sukarelawan yang bertugas di Befrienders adalah pasukan yang bertauliah dan terlatih kerana mereka telah menjalani kursus dan bengkel khas,” ujarnya.
Beliau menyarankan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang untuk sentiasa melakukan aktiviti-aktiviti kesihatan serta menjauhi amalan budaya tidak sihat agar mental dan fizikal sentiasa sihat.
Untuk rekod, Befrienders Kota Kinabalu ditubuhkan sejak tahun 2007 dan mempunyai 40 orang sukarelawan sehingga kini.
-ZS-