Laporan/foto: Saiful Zalizan Yaacob (Hulu Langat)
DUSUN TUA, 27 Jul (Malaysiaakif) – Program Pembersihan dan Pengindahan Sungai Serta Desa Kampung Peringkat Mukim Hulu Langat telah diadakan di Kompleks Air Panas Batu 16, di sini hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan tiada kompromi.
“Sikap kita yang akan menentukan sama ada mahu persekitaran kita bersih dan bebas daripada sampah atau sebaliknya. Jadi semua orang wajar mengambil tanggungjawab ‘mengotorkan tangan’ untuk sama-sama menjaga kebersihan di kawasan komuniti masing-masing” ujarnya dalam ucapan perasmian.
“Program ini dianjurkan dengan sokongan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor melalui penyaluran geran peruntukan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk menjalankan aktiviti ini serta mendapat kerjasama 16 buah kampung di bawah pentadbiran Pejabat Penghulu Mukim Hulu Langat, Pejabat Daerah Hulu Langat dan Rumah Sahabat Hulu Langat,” kata Ketua Kampung Batu 16 Hulu Langat Md Gadapi Ahmad Harmain.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah menaman pokok, mengutip sampah, mengecat dan menghias kawasan Kompleks Air Panas Batu 16 Dusun Tua.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan Muhamad Hafiz Mohd Nasir.
-ZS-