Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan inisiatif Payung Rahmah dengan kerjasama Jaya Grocer dan Grab Malaysia.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, mimpi ngeri beliau mengenai inisiatif Payung Rahmah akan berakhir tidak menjadi kenyataan dengan kehadiran kedua-dua jenama besar itu menyertai keluarga besar RAHMAH.
“Saya tidak menduga masih ada lagi syarikat yang mahu dan terus memberi sokongan terhadap usaha KPDN ini memandangkan inisiatif Payung Rahmah ini tiada apa-apa geran atau peruntukkan khusus kepada mana-mana pihak yang menyertai tetapi pemain-pemain industri tampil hadapan membantu mereka yang terkesan akibat kenaikan harga barangan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah Bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di KL East Mall, di sini.
Menerusi kerjasama itu, Jaya Grocer dan Grab Malaysia akan menawarkan promosi eksklusif melalui tiga inisiatif di platform Grab meliputi Pakej Rahmah yang menawarkan pakej ‘Mix & Match’ daripada serendah RM18 di GrabFood dan Jualan Rahmah diskaun 40 peratus bagi barangan keperluan harian eksklusif di Jaya Grocer melalui GrabMart.
Turut dilaksanakan pemberian Bakul Rahmah dalam menyokong komuniti pemandu Orang Kurang Upaya (OKU) Grab dan rakan kongsi penghantaran.
-ZS-