Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Program 6,600 Langkah Perpaduan yang disertai lebih 5,000 peserta menjadi acara tumpuan kepada sambutan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (PBKKJG) 2023 yang berlangsung di sini, semalam.
Angka 6,600 dipilih sebagai simbolik kepada Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 tahun ini.
Pelepasan program berkonsepkan ‘brisk walking’ itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.
Sebanyak dua kategori dianjurkan iaitu ‘Fun Walk’ sejauh 1.2 kilometer dan ‘Fun Run’ yang membabitkan jarak 4.8 kilometer.
Seawal 5.30 pagi, orang ramai mula tiba di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini dan rata-rata dilihat penuh bersemangat untuk memeriahkan PBKKJG 2023.
Peserta, Muhammad Khabib Zulbakri, 33, meluahkan rasa teruja kerana dapat bersama-sama menyertai kemeriahan acara PBKKJG 2023 peringkat kebangsaan yang diadakan di negeri Perak.
“Saya memang minat berlari dan pernah menyertai beberapa acara larian sebelum ini.
“Jadi, peluang untuk menyertai program 6,600 Langkah Perpaduan ini amatlah ditunggu-tunggu apatah lagi saya tinggal berdekatan sahaja,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyempurnakan PBKKJG 2023 itu.
-ZS-