Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim/Norfaizah Adnan
KUALA LUMPUR, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Belia Negara 2023 (HBN23) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak, di sini semalam meriah dengan kehadiran Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Berucap merasmikan sambutan HBN 2023 Wan Azizah, berkata inilah masa untuk anak-anak belia generasi muda dan pemimpin negara akan datang untuk bersatu hati dalam memperjuangkan pembangunan belia.
“Saya difahamkan konsep sambutan Hari Belia ini adalah hasil dari Sesi Townhall Menteri Belia dan Sukan dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 28 Mei lalu,” jelasnya.
Beliau turut menyeru pertubuhan-pertubuhan belia untuk melahirkan pelapis yang berkualiti supaya seiring dengan sembilan matlamat dan aspirasi belia pada masa kini.
-ZS-