Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Terpanggil dengan kes kematian disebabkan bencana ribut pada 20 Jun lepas, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Segamat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis Anuar Abdul Manap telah mengunjungi P.Sarawana, 57, yang merupakan waris dan suami mangsa di Kampung Tahang Rimau, di sini semalam bagi penyerahan cek faedah Skuad Prihatin PERKESO.
Timbalan Pengurus PERKESO Segamat Megat Najib Megat Abdul Rahman, berkata mendiang V.Mahadevi, 55, bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Menengah Seg Hwa Tahang Rimau yang meninggal dunia semasa bencana tersebut merupakan pencarum PERKESO sejak 1 Mac 1999.
“Waris pencarum layak menerima Faedah Pencen Penakat berjumlah RM330 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000,” katanya.
Menurut ADUN Pemanis, pihaknya berharap supaya waris bersabar serta tabah meneruskan kehidupan.
“Diharapkan ianya dapat membantu perbelanjaan harian waris mendiang.
“Inilah kebaikan yang pihak PERKESO sediakan kepada pencarum jika berlaku kemalangan atau kematian, pencarum atau waris akan menerima faedah,” ujarnya.
P.Sarawana mengucapkan terima kasih kepada PERKESO Segamat dan ADUN Pemanis Anuar Abdul Manap kerana sudi melawat walaupun keadaan rumahnya masih belum dibaiki sepenuhnya.
-ZS-