
Laporan/foto: Norsaedah Haron (Kluang)
KLUANG, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Keunikan budaya masyarakat Cina diterjemah melalui Program Kembara Keluarga Sejahtera Negeri Johor dan Penyerahan Insiatif Bantu Keluarga dan Masyarakat (i-Berkat) Daerah Kluang 2023, anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim di Dewan Che Luan Khor, di sini hari ini.
Pegawai Daerah Kluang Haji Mohd Rafi Abdullah, berkata kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai strategi, inisiatif dan mekanisme bagi mengukuhkan institusi keluarga di Negeri Johor.
“Antaranya adalah Program Kembara Keluarga Sejahtera Negeri Johor yang melibatkan pelbagai pengisian untuk masyarakat berbilang kaum dan bangsa khusus untuk melahirkan keluarga serta masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
“Sebagai rakyat Malaysia yang menetap di Negeri Johor, kita perlu bersyukur kerana dapat tinggal, bergaul dan hidup dengan aman dan makmur dengan masyarakat majmuk pelbagai agama, bangsa dan kaum.
“Sesuai dengan Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal kita sambut pada 31 Ogos ini, kita perlu raikan persamaan serta hormati perbezaan di antara kita agar nikmat perpaduan dapat dicapai oleh seluruh rakyat di negeri ini,” ujarnya.
Turut diadakan penyampaian Bantuan Inisiatif Bantu Keluarga dan Masyarakat (i-Berkat) berupa sumbangan bantuan peralatan kesihatan kepada 20 orang penerima.
-ZS-