Skip to main content
Berita TengahMAPutrajaya

Lautan Luas Sanggup Kami Renangi, Selamat Hari Kebangsaan!

By 31 Ogos 2023September 5th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
KurikKundi

Laporan/foto: Hisham Salleh/JaPen

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – “Kami terbang dari Tawau, Sabah, semalam. Transit sekejap di Kota Kinabalu. Pagi ini, kami di Putrajaya.” Itu lah dia semangat yang dizahirkan oleh pasangan pesara, Encik Tammim Kadir, 60, dan Puan Maria Duma, 58, yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2023, yang sedang berlangsung di Dataran Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, kehadiran mereka hari ini adalah satu impian yang telah lama disimpan, tetapi dek kerana kekangan kerja, impian tersebut terpaksa ditangguhkan. Namun begitu, setelah keduanya bersara daripada dunia pekerjaan tahun lepas, hasrat tersebut dapat dikabulkan hari ini.

“Yang kami paling tertunggu-tunggu adalah perarakan aset ketenteraan. Selalunya hanya nampak di televisyen, hari ini dapat tengok depan mata. Menakjubkan!” Ujar Puan Maria.

Manakala, Fatehah Fazly, 11, yang hadir bersama keluarganya, menyatakan keseronokan menyaksikan persembahan tarian Gegar Madani, yang melibatkan lebih 1000 artis tari dan pergendangan. Beliau yang juga seorang pelajar tarian, di salah satu sekolah di Kuala Lumpur, menyatakan impiannya untuk turut serta sebagai penari di sambutan yang akan datang.

“Biasanya di sekolah, saya menari zapin sahaja. Tapi saya harap satu hari nanti saya dapat peluang untuk menari pelbagai tarian, beramai-ramai seperti hari ini. Memang best!” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini melibatkan lebih 17,000 peserta dan 66 kontinjen yang menjayakannya berteraskan “Kepelbagaian Dalam Perpaduan”.

Ia turut dimeriahkan dengan aksi terjunan tepat VAT69 Komando Polis Diraja Malaysia, 36 kumpulan pancaragam, dan persembahan khas Hari Kebangsaan 2023 bertajuk “Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” oleh 1,500 orang peserta.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 turut diraikan secara serentak di seluruh negara bermula pukul 7.00 pagi.

-HS-

Tinggalkan komen anda