Skip to main content
MAPutrajaya

Hari Kebangsaan 2023: Warna Warni Malaysiaku

By 31 Ogos 2023Tiada komen2 minit bacaan
Merdeka

Laporan/foto: Hisham Salleh/JaPen

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Kehadiran lebih 100,000 orang pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023, di Dataran Putrajaya hari ini, adalah bukti semangat patriotik rakyat Malaysia masih membara di sanubari.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, acara hari ini melibatkan lebih 17,000 peserta dan 66 kontinjen daripada pelbagai kategori seperti Kontinjen Kenegaraan, yang melibatkan pembawa bendera Jalur Gemilang; Kontinjen Perpaduan Malaysia Madani, yang melibatkan suku kaum daripada seluruh negara; Kontinjen Ekonomi yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja; dan seperti biasa, Kontinjen Keselamatan Negara.

Acara tahunan ini diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri; Yang Amat Berhormat Timbalan-timbalan Perdana Menteri dan isteri; serta ahli-ahli Jemaah Menteri.

Sebagai langkah mempromosi warisan batik Malaysia, Jemaah Menteri dan tetamu kehormat memperagakan batik khas bermotifkan bunga raya, dan belang Harimau Malaya rekaan Kraftangan Malaysia.

Menyahut seruan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, yang mengajak pengunjung memakai baju batik Malaysia pada acara hari ini, Michael Murty, 38, mengenakan baju batik yang dibelinya secara atas talian.

“Saya tak pernah ada baju batik sejak di bangku sekolah. Jadi sempena hari kebangsaan kita tahun ini, saya buat keputusan untuk beli sehelai di Shopee. Memang banyak corak menarik. Nak beli Batik Terengganu, mungkin satu hari nanti lah.” Ujarnya, seorang pemuda berasal dari Ipoh, Perak.

Sementara itu, Tan Ai Lin, 25, pelajar universiti swasta tempatan, turut mengenakan baju kurung batik, yang diwarisi daripada mendiang ibunya. Menurut beliau, baju kurung tersebut juga pernah dipakai oleh ibunya semasa menghadiri sambutan hari kebangsaan sekitar 90-an.

“Baju kurung batik ini dimiliki mendiang ibu saya sejak zaman beliau muda. Beliau pernah pakai di Dataran Merdeka sebelum ini. Jadi, moment hari ini sangat special untuk saya.”  

Terdapat juga persembahan daripada 36 kumpulan pancaragam yang mengiringi kontinjen-kontinjen tersebut, seperti Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat, Pancaragam Victoria Institution, Pancaragam SMJK Chong Hwa, dan Pancaragam Sekolah Henry Gurney.

Pengunjung turut dipersembahkan dengan lagu “Kurik Kundi” olahan baharu nyanyian beberapa artis, iaitu Nadeera Zaini yang mewakili kaum Melayu di Semenanjung, Suki Low (kaum Cina), Roshini Balachandran (kaum India), Zizi Kirana (masyarakat Sabah) dan Hazraniza Dollah (masyarakat Sarawak).

Lagu tema “Malaysia MADANI” dan “Jalur Gemilang” yang dipersembahkan Bunkface dan antaranya disertai Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Penjara serta Istana Budaya mengakhiri persembahan sambutan yang memukau para hadirin.

-HS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda