Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Madani: ‘Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ Dijelmakan dalam Sambutan Hari Kebangsaan ke-66

By 31 Ogos 2023September 6th, 2023Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Konsep MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui naskhah ‘The Asian Renaissance’ (Kebangkitan Asia) pada tahun 1997 dijelmakan dalam sambutan Hari Kebangsaan ke-66, di sini hari ini.

Bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, sambutan secara rasmi dimulakan pada pukul 8.00 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Lebih 16,000 peserta meliputi 10 kontinjen iaitu menyertai perarakan kali ini dengan barisan ahli Kabinet dan orang ramai kelihatan memakai baju dan fesyen batik yang merupakan kebanggaan rakyat Malaysia.

Antara yang menarik perhatian, Kontinjen Perpaduan yang memperagakan pakaian Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak seperti Kadazan, Dusun, Bajau, Sungai, Iban, Bidayuh dan Melanau yang menampilkan kepelbagaian etnik dalam negara ini namun mampu hidup dengan aman dan sejahtera.

Para hadirin turut terpukau melihat pertunjukkan udara membabitkan 50 aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan seperti pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet, BAE Hawk, pesawat pengangkut A400M dan C130 Hercules.

Menurut seorang pelajar Tan Yoong Shin, 16, dari Damansara Damai, Selangor, ini adalah kali pertama beliau hadir ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan.

“Semangat perpaduan dapat dirasakan dengan kehadiran pengunjung pelbagai kaum untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

“Saya bangga semua orang boleh hidup dalam suasana harmoni, saling tolong-menolong dan hormat menghormati. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berpegang teguh kepada Rukun Negara,” katanya yang hadir bersama abangnya dengan menaiki MRT seawal pukul 4.45 pagi.

Sementara itu, seorang pengurus projek di sebuah syarikat swasta dari Bandar Baru Selayang, Meganathan Kanohanadasan, 48, hadir bersama isteri dan dua orang anak juga menaiki MRT seawal 5.30 pagi.

“Saya bawa isteri dan anak-anak supaya mereka melihat sendiri suasana kemeriahan sambutan dan mencetuskan semangat kemerdekaan dalam diri mereka.

“Persembahan udara dan perarakan pasukan keselamatan membangkitkan semangat patriotik kepada diri saya untuk menghargai pejuang-pejuang yang berkorban untuk mencapai kemerdekaan. Kita perlu kekalkan suasana harmoni bersama semua agama dan bangsa dengan sentiasa saling hormat-menghormati serta bermuafakat di antara satu sama lain,” katanya.

Suri rumah Radiah Morni, 63, berasal dari Sri Aman, Sarawak yang sudah menetap selama 35 tahun di semenanjung, berkata beliau bersemangat hadir setelah tiga tahun tidak menyambutnya di lokasi sambutan kerana pandemik COVID-19.

Katanya, setiap tahun beliau akan ke lokasi sambutan bagi meraikan sendiri kemeriahan perarakan dan persembahan daripada pelbagai etnik dan bangsa.

“Kita jangan pilih kasih, perlu berbaik-baik tanpa mengira kaum dan jangan bergaduh sesama kita.

“Generasi sekarang perlu bersemangat patriotik yang tinggi seperti orang dahulu. Kita mesti satu hati sebagai anak Malaysia,” katanya yang datang bersama anak dan dua orang cucu dari Landai Permai, Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan tren pertama MRT pukul 4.00 pagi.

Dianggarkan lebih 100,000 orang hadir dalam sambutan Hari Kebangsaan kali ini dan ini merupakan kali kelima Putrajaya menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan selepas tahun 2003, 2005, 2018 dan 2019.

-RI

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda