
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Nazofah Wakaf Gotong-Royong Perdana anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) Segamat di Tanah Perkuburan Islam Makam Lubok Batu, kelmarin diadakan bagi mengeratkan ukhwah antara masyarakat.
Amin Baitulmal MAIJ Segamat Khairul Anwar, berkata setiap bulan MAIJ Segamat akan mencari mana-mana tanah perkuburan Islam yang sudah lama tidak dibersihkan dan akan melaksanakan program gotong-royong bagi membersihkannnya bersama komuniti setempat.
“Program ini dapat mengeratkan ukhwah sesama saudara Islam dan yang paling penting adalah penglibatan agensi kerajaan dan bukan kerajaan bersama-sama penduduk setempat berganding bahu melaksanakan program ini.
“Aktiviti ini dilaksanakan bagi memastikan tanah perkuburan Islam di Daerah Segamat khususnya negeri Johor sentiasa bersih dan ceria supaya sentiasa dikunjungi umat Islam bukan hanya pada hari raya sahaja,” ujarnya.
Ketua Komuniti MADANI Lubok Batu Hassan Hussin, mengucapkan terima kasih kepada MAIJ Segamat kerana berjaya menjayakan program sedemikian kerana sebelum ini kawasan perkuburan dipenuhi dengan semak samun tinggi yang menyebabkan orang tidak tahu mengenai keberadaan kawasan tersebut.
“Program gotong-royong telah berjaya membersihkan sekitar pagar dan ketika ini suasana sudah kelihatan terang serta bersih,” katanya.
Dianggarkan hampir 80 peserta yang terdiri daripada petugas Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Angkatan Pertahanan Awam, SWM Environment Sdn Bhd Segamat, Pejabat Kadi Segamat, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubok Batu dan Ahli Jawatankuasa Masjid Lubok Batu hadir dengan peralatan pembersihan seawall pukul 8.30 pagi bagi mengimarahkan program berkenaan.
Turut diadakan Majlis Tahlil Pewakaf dan Penyerahan Sumbangan Bantuan MAIJ kepada 25 orang penerima asnaf dari sekitar Kampung Lubok Batu.
-ZS-