Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam/Muhammad Isa Ariffin
BATU PAHAT, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Setiap 173 orang ketua kampung Daerah Batu Pahat menerima dana sebanyak RM1,000 ketika sesi perjumpaan Ketua-Ketua Kampung Daerah Batu Pahat bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip di Dewan Jubli Intan, di sini semalam.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah meluluskan peruntukan sebanyak RM173,000 bagi menjayakan Johor Bersih di 173 kampung dalam daerah Batu Pahat.
“Ilham Menteri Besar menginginkan seluruh Johor menjadi tempat yang bersih seperti Bandar Muar yang mendapat anugerah bandar terbersih,” katanya.
Menurut Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md. Ali, ketua kampung merupakan nadi penggerak Johor Bersih di akar umbi.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ketua kampung daerah Batu Pahat yang tidak pernah kenal penat lelah dalam berkhidmat selama 24 jam sehari.
“Tiada istilah cuti buat mereka kerana masyarakat sentiasa memerlukan khidmat bantuan mereka,” ujarnya.
Yang Dipertua Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Batu Pahat Samion Selamat, berkata beliau amat gembira dan bersyukur menerima peruntukan tersebut.
“Untuk mencapai matlamat Johor Bersih ini bukanlah mudah. Banyak modal diperlukan oleh orang kampung dalam memastikan kampung mereka sentiasa bersih dan sedap mata memandang,” katanya.
Turut hadir Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung dalam Daerah Batu Pahat.
-ZS-