Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Sembilan Program Utama Bulan Kebangsaan 2023 Peringkat Labuan

By 1 Ogos 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Labuan akan melaksanakan Sembilan program utama bagi mengisi Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan tahun ini.

Menurut Pengarahnya Azman Sipan, antara pengisian utama adalah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang, Aktiviti Berjalan 6,600 Langkah Merdeka, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pertandingan Sketsa Rukun Negara, Program Semarak Gemilang, Anugerah Semarak Gemilang, Demokrasi Kita@Kelab Malaysiaku dan Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA).

“Aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan bagi menggelorakan serta menghayati sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tahun dan Hari Malaysia pada tahun ini selain menyuburkan perpaduan yang tinggi dalam kalangan rakyat berbilang kaum di pulau ini selari dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’,”katanya semasa bersiaran dalam Program Bicara Eksklusif LABUANfm pagi tadi.

Jelasnya lagi, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang diadakan pada 6 Ogos ini di Medan Selera Labuan akan diselitkan dengan beberapa acara sampingan.

“Pada majlis itu turut diadakan Senam seni Merdeka, Aktiviti Berjalan 6,600 Langkah Merdeka, gerai pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan mewarna kanak-kanak selain acara pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

“Kembara Merdeka Jalur Gemilang juga akan dilaksanakan di pelusuk Labuan pada setiap minggu sepanjang bulan Ogos serta akan singgah di beberapa lokasi yang melaksanakan Program Semarak Gemilang,” katanya.

Azman turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik seperti agensi kerajaan, swasta termasuk Komuniti Malaysia Madani yang membantu menjayakan segala pengisian yang telah disusun atur.

“Terima kasih kepada semua rakan strategik terutamanya Perbadanan Labuan sebagai pihak berkuasa tempatan yang membantu memudahkan penganjuran sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

“Kami juga ingin menyeru kepada semua pihak di Labuan untuk mula menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui kibaran Jalur Gemilang di semua tempat yang bersesuaian,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda