
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
PUSA, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Lebih 5,000 pengunjung hadir ke Regata Tandang Sari 2023 di Tebingan Sungai Pusa yang telah berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam.
Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli ketika merasmikan Majlis Penangguhan Regata Tanding Sari 2023 petang semalam, berkata penjenamaan semula Pesta Pusa yang terakhir diadakan pada 2019 kepada Regatta Tandang Sari adalah satu nilai tambah untuk menarik penyertaan dari negara Brunei.
“Saya berharap regata dapat diadakan pada skala yang lebih besar dengan adanya penyertaan daripada pasukan negara Brunei pada tahun hadapan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, program tersebut juga bertujuan untuk membantu penduduk setempat meningkatkan pendapatan ekonomi mereka.
“Saya dan ahli keluarga saya telah sampai di Pusa sejak pukul 8.00 pagi tadi untuk melihat enam acara akhir lumba perahu yang akan berlangsung pada hari ini,” kata Ummu Sofea Shabini, 22, pelajar UNIMAS yang berasal dari Beladin,
Bagi pengunjung yang berasal dari Kampung Pusa, Mohd Hanafi Hamad Jais, 30, penyediaan skrin layar besar serta kawasan berbumbung yang didirikan di Dataran Tandang Sari sangat memberikan keselesaan kepada pengunjung.
Sementara itu, peniaga makanan di Pusat Perniagaan Komersial Pusa, Sarbini Bujang, 48, berkata jualan mi kuah mendapat sambutan yang luar biasa daripada pengunjung.
“Walaupun program tersebut hanya berlangsung selama tiga hari ia sangat membantu dalam menambah pendapatannya.
“Saya berharap program-program seumpama ini dapat terus diadakan pada masa hadapan,” katanya.
-ZS-