
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)/MAIJ Segamat
SEGAMAT, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Program Street Dakwah Jom Berwakaf yang diadakan bersempena dengan Kempen Saham Wakaf Johor anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Felda Redong, di sini semalam telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat.
Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ Sulaiman Ismail, berkata objektif program ini bertujuan menghebahkan kepada orang ramai berhubung kelebihan berwakaf, peranan wakaf, kesedaran berwakaf termasuk menerusi produk wakaf yang mampu disertai semua peringkat iaitu Saham Wakaf Johor.
“Wakaf adalah satu ibadah yang sangat dituntut untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta, Allah SWT.
“Berwakaf bukti kita mensyukuri segala nikmat kurnia dan pemberian Allah serta dalam masa yang sama berpotensi menyediakan pelbagai kemudahan ummah di muka bumi ini,” katanya.
Amin Baitulmal MAIJ Segamat Khairul Anwar mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAINJ yang sudi hadir ke Segamat bagi melaksanakan program yang dirancang bersempena dengan kempen bulan wakaf Johor.
“Program ini dapat mempromosi saham wakaf Johor kepada warga Felda dan alhamdullilah daerah Segamat telah mendapat kutipan tertinggi saham wakaf sebanyak RM26,310 sepanjang dua hari kami berkampung di sini,” katanya.
Pelbagai aktiviti diadakan seperti gotong-royong membersihkan tanah perkuburan dan masjid, program forum wakaf, tahlil pewakaf, konvoi dakwah jalanan, kaunter pemeriksaan kesihatan percuma, kaunter saham wakaf Johor, isi minyak motosikal percuma dan program Talam Ar Rizqi iaitu menghantar makanan ke rumah asnaf.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Wakaf JAWHAR Hanif Jamaludin, Pengerusi Masjid Nurul Falah Felda Redong 1 Wasitah Hassan dan Pembantu Hal Ehwal Islam Felda Redong 1 Muhammad Hadi Mahruf.
-ZS-