
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JBPM Selangor
RAWANG, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Dua individu rentung selepas kereta yang dinaiki terbakar akibat bertembung dengan sebuah lori kontena dalam kejadian di Jalan Kuala Garing, di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.53 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba Rawang telah bergegas ke tempat kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Honda City telah terbakar 70 peratus, sementara sebuah lori kontena juga terbakar 50 peratus.
“Dua mangsa rentung tersebut merupakan warga tempatan, seorang lelaki berusia 26 tahun dan seorang wanita berusia 23 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu lori berkenaan terselamat apabila berjaya keluar daripada kenderaannya.
-ZS-