
Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SHAH ALAM, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar muncul juara Pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung pagi tadi di Dewan Ibnu Al-Jazari, Sekolah Agama Menengah Tinggi, Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), Shah Alam.
Kumpulan yang dianggotai oleh empat pelajar sekolah pelbagai bangsa itu mempersembahkan sketsa berjudul ‘Putik Pertiwi’ telah berjaya mencuri hati juri seterusnya dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM 2,000 beserta sijil dan plak.
Menurut guru pengiring sekolah tersebut Abdul Mueiz Ruslee, 40, beliau tidak menyangka akan menjuarai pertandingan pada hari ini kerana saingan sengit daripada lima buah sekolah yang bertanding.
“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi pertandingan pada hari ini. Namun saya bersyukur rezeki pelajar-pelajar dan guru-guru yang telah bertungkus lumus melatih peserta-peserta ke Pertandingan Sketsa Rukun Negara pada hari ini,” ujarnya.
“Program pada hari ini sangat bermanfaat untuk meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara serta melibatkan kerjasama strategik di antara Jabatan Penerangan dan Kementerian Pendidikan,” kata Luqmanulhakim Abunaim, 35, yang juga merupakan guru pengiring dari SMK Sungai Besar.
Pertandingan Sketsa Rukun Negara anjuran Jabatan Penerangan Negeri Selangor diadakan untuk memberi kefahaman dan penghayatan mengenai Rukun Negara dalam kalangan pelajar pelbagai kaum dan peringkat umur.
-ZS-