
Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam (Melaka Tengah)
MELAKA, 5 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan sentiasa mengambil berat dan memberi tumpuan terhadap kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu Kerajaan Perpaduan amat mengambil berat berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dalam menangani isu kos sara hidup rakyat yang dilakukan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.
“Karnival Jualan Mega Agro Madani adalah salah satu program yang dijalankan oleh kementerian untuk membantu menyediakan sumber makanan kepada rakyat pada harga yang istimewa dengan penjimatan sehingga 30 peratus.
“Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga telah berjaya mengurangkan impak keterjaminan makanan dengan melakukan intervensi secara berkala dalam memberikan kelebihan kepada golongan usahawan ini,” katanya.
Mohamad Sabu berkata demikian di Majlis Perasmian Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Insentif Pembangunan Usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) yang akan memberi manfaat kepada 1,095 usahawan dengan nilai lebih RM1.7 juta.
“Kementerian menyokong segala perihal ataupun urusan yang melibatkan usahawan-usahawan dalam mengembangkan lagi perniagaan dalam sektor ini,” ujarnya.
-ZS-