Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Program e-Juwita Bantu Usahawan Wanita Perak

By 11 September 2023September 13th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Program e-Juwita Bantu Usahawan Wanita Perak

Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman/Senaying Ahud (Hulu Perak)

LENGGONG, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Program E Jualan Wanita (e-Juwita) Negeri Perak bakal memberi manfaat kepada 720 orang usahawan wanita di negeri ini selepas pelancarannya disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di Dewan Orang Ramai, Kampung Raban, di sini baru-baru ini.

Antara fokus utama program ini adalah membangunkan usahawan wanita yang mempunyai perniagaan secara kecil-kecilan bagi memasarkan produk mereka melalui platform digital seperti Lazada, Shoppe, Tiktok dan sebagainya.

Peserta yang juga usahawan di bawah bimbingan Sekretariat Pembangunan Usahawan (STEP), Norhidayah Abu Bakar, 38, berkata, program ini  bermanfaat kerana dapat membantu para usahawan wanita untuk mengembangkan perniagaan ke arah yang lebih jauh melalui media sosial.

“Melalui e-Juwita, ia mampu membantu peserta untuk mempelajari platform Shoppe dan Lazada yang menjadi antara pasaran utama jual beli secara dalam talian,” katanya.

Bagi seorang lagi peserta, Aliana Abdullah, 31, program ini dapat memberi nafas baru kepada peniaga kecil yang ingin memperbesarkan perniagaan melalui kaedah pendigitalan.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas usaha yang dilakukan bagi membantu usahawan wanita untuk terus maju dalam perniagaan,” ujarnya ketika ditemui.

Program e-Juwita akan dikendalikan oleh Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (Wanita Perak),  STEP dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Negeri Perak yang melibatkan 24 buah parlimen di Negeri Perak bertempat di Pusat Ekonomi dan Digital (PEDi) yang terpilih.

Sebarang permohonan untuk menyertai program ini boleh dibuat melalui hebahan laman sesawang Facebook Sekretariat Pembangunan Usahawan (STEP) dan Wanita Perak.

-ZS-

Tinggalkan komen anda