
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/SMKRR
LABUAN, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Program Semarak Bulan Merdeka Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) yang dilaksanakan dari 22 Ogos hingga 16 September ini berjaya memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid-murid.
Menurut Pengetua SMKRR Wan Azman Awang, program itu merupakan satu bentuk pengisian yang cukup bermakna bagi memupuk semangat cinta negara dan menghargai kemerdekaan.
“Melalui program-program seperti ini lebih mudah untuk pelajar memupuk perasaan cinta negara melalui pelbagai cara, samada melalui pengucapan, perlakuan serta penulisan.
“Menghargai makna kemerdekaan dan menyayangi Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian perlu menjadi satu budaya sekolah agar pelajar-pelajar ini bila keluar menjadi sebahagian masyarakat madani yang sentiasa semarak jiwanya dengan erti kemerdekaan negara,” katanya semasa ditemui kelmarin.
Jelasnya lagi, pihaknya cukup bertuah kerana mendapat sumbangan daripada Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan melalui Kelab Malaysiaku untuk mengadakan program Semarak Bulan Merdeka.
“Sumbangan ini sangat bermakna dan boleh dimanfaatkan kepada ahli-ahli Kelab Malaysiaku khasnya dan kepada semua murid SMKRR amnya.
“Saya berharap agar program seperti ini diteruskan dengan pengisian yang lebih banyak pada tahun hadapan,” katanya.
Antara aktiviti yang mengisi program tersebut adalah Pertandingan Melukis Poster, Pertandingan Putera Puteri Merdeka dan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik.
-ZS-