Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Dialog Awam J-KOM Pupuk Semangat Perpaduan dalam Kalangan Pelajar Universiti

By 19 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 19 Oktober (Malaysiaaktif) – Program TownHall Bicara Perpaduan anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Sabah merealisasikan misi penting untuk memupuk perpaduan dan membuka dialog terbuka dalam kalangan pelajar universiti.

Menurut Pengarah J-KOM Sabah Milus Alu @ Abd Wahad, program dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) itu dijadikan platform bagi pelajar, fakulti, dan tetamu terkemuka untuk terlibat dalam perbincangan yang membina, berkongsi pandangan dan bekerjasama mencapai matlamat bersama.

“Program town hall (dialog awam) memainkan peranan penting dalam mempromosikan komunikasi terbuka, pemahaman dan perpaduan dalam kalangan pelbagai kumpulan masyarakat, terutamanya dalam kalangan komuniti akademik.

“Program dimulai dengan taklimat kenegaraan dengan tajuk ‘Merdekakah Kita? Di Mana Letaknya Patriotik Kita’ yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah Supian Musa,” katanya semasa ditemui pada program itu yang dihadiri 600 orang pelajar di UMSKAL, di sini semalam.

Jelasnya, sesi dialog awam itu menampilkan dua ahli panel terkenal iaitu Ketua Pengarah J-KOM Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Profesor Kehormat di Universiti Selangor (UNISEL) Prof. Dr. Arsiah Bahrun @ Bahron.

Pada program itu turut diadakan Majlis Tandatangan Surat Niat antara Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan UMSKAL dan J-KOM Zon Sabah untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan dalam konteks perpaduan serta komunikasi dengan dana penyelidikan permulaan sebanyak RM5,000.

Turut hadir Pengarah UMSKAL Prof. Madya Dr. Mohd Rizal Abdul Hamid, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Penolong Pengarah J-KOM Sabah Dr. Diana Dominic, Ketua Pentadbiran UMSKAL Zamri Mohd Tuah dan Penolong Pendaftar UMSKAL Mas Adi Alimi.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda