Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Fiesta Loma Gerik 2023 Daya Tarikan Pelancongan Tempatan

By 10 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman/Senaying Ahud (Hulu Perak)

GERIK, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Penganjuran Fiesta Loma Gerik 2023 di Dataran Loma, di sini pada Sabtu dan Ahad lalu merupakan titik permulaan bagi mengimbau sejarah Sungai Rui, Gerik yang telah menjadi jalan air utama masyarakat pada suatu masa dahulu.

Sungai Rui mempunyai keunikan tersendiri apabila menjadi tempat persinggahan ikan loma yang membuang telur pada musim tengkujuh bermula bulan September hingga Oktober, bahkan kehadiran ikan loma di sungai ini amat dinantikan oleh penduduk serta mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Pengunjung, Zullfahmy Huwaidy Mohamed, 31, meluahkan rasa teruja dengan penganjuran program ini kerana banyak aktiviti dan acara menarik yang dianjurkan.

“Fiesta Loma amat dinantikan terutama kepada penduduk setempat kerana ia menjadi mercu tanda daerah Gerik,” ujarnya ketika ditemui.

Seorang lagi pengunjung, Aiman Afif Ahmad Shahril, 22, berkata penganjuran pesta ini turut membantu peniaga kecil untuk menjana pendapatan dengan kehadiran pengunjung yang ramai dari kawasan sekitar.

“Pastinya acara ini mampu menjadikan Gerik sebagai tempat pelancongan yang boleh dikunjungi oleh orang luar yang singgah ke sini,” jelasnya.

Fiesta Loma Gerik 2023 menerima sambutan luar biasa dengan beberapa pertandingan menjadi tumpuan seperti pertandingan rakit yang disertai seramai 240 peserta melibatkan 80 kumpulan.

Pelepasan rakit dilakukan di dataran Jong, Gerik dan berakhir di Dataran Loma dengan jarak 17 kilometer serta mendapat sambutan dari agensi bersempadan dengan daerah Hulu Perak iaitu Pejabat Daerah Betong, Majlis Daerah Tharnamtip dan Majlis Daerah Ayerweng, Yala.

Program yang berlangsung selama dua hari itu mengetengahkan pelbagai lagi acara seperti pertandingan badang gerik, perahu berhias dan pertandingan berasaskan ikan loma.

-ZS-

Tinggalkan komen anda