
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/ Jabatan Penerangan
BAGAN DATUK, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Jambatan Bagan Datuk di sini pada Sabtu sekali gus menamatkan penantian penduduk di daerah ini selama lebih enam tahun sejak 2017.
Kenyataan itu disuarakan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan ahli Parlimen Bagan Datuk dalam sembah ucapan perasmian beliau.
“Majlis hari ini sangat bermakna bagi rakyat Bagan Datuk kerana dapat menyaksikan sebuah lagi kemudahan infrastruktur dibina dan tersergam indah untuk manfaat dan kemudahan rakyat di negeri Perak khususnya di daerah ini.
“Lebih membanggakan, pembinaan jambatan ini telah mendapat pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Records Tahun 2023 dengan pencapaian Laluan Papak Bertingkat Atas Cerucuk Terpanjang dan Bilangan Titik Cerucuk Terbanyak Bagi Laluan Papak Bertingkat Atas Cerucuk,” ujarnya.
Tambah Ahmad Zahid, akhirnya pekan kecil Bagan Datuk akan lebih mudah dikunjungi dan beliau berharap situasi itu akan menjana perubahan dan memberi limpahan ekonomi dan sosial kepada penduduk setempat.
Atas perkenan Sultan Perak, Jambatan Bagan Datuk kini dikenali sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah.
-ZS-