Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jamboree JOTA JOTI Pengakap Manfaatkan Komunikasi Radio Amatur

By 23 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Ashikin Mustafa

KOTA TINGGI, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 1,300 anggota pengakap dari Daerah Kota Tinggi, Mersing dan Pasir Gudang telah mengambil bahagian dalam Jamboree JOTA (Jamboree on the Air) JOTI (Jamboree on the Internet) Pengakap Daerah Kota Tinggi 2023 yang berlangsung di Padang Bukit Kerajaan Kota Tinggi, semalam.

Jamboree JOTA JOTI merupakan perhimpunan tahunan pengakap bagi menghubungkan ahli pengakap seluruh dunia dengan menggunakan teknologi komunikasi radio amatur dan internet.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor Norlizah Noh, berkata tujuan program ini adalah sebagai aspirasi dan inspirasi agar matlamat melahirkan modal insan yang berkualiti selain meningkatkan jalinan serta jaringan dengan dunia luar dalam ilmu kepengakapan.

“Melalui program JOTA JOTI ini, ahli pengakap dapat memanfaatkan teknologi ke arah kebaikan dengan menjalinkan hubungan dengan dunia luar di samping menambah ilmu tentang pengakap di negara mereka.

“Zaman sekarang sekiranya teknologi di salah guna maka ahli pengakap khususnya akan terjerumus ke lembah gejala sosial yang semakin membimbangkan.

“Justeru itu, manfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi ini bagi menjadi warga negara yang berguna kepada bangsa agama dan negara,” ujar wakil rasminya, Ishak Ismail.

Para peserta turut berpeluang berhubung dengan rakan pengakap dari luar negara seperti Jepun dan Kanada melalui aplikasi Skype dan Scout Link sepanjang program ini berlangsung.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor Bardin Uteh dan wakil rasmi Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi Mohd Rizal Md Said.

-ZS-

Tinggalkan komen anda