Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Kembara Citra Sejarah Pentas Mempromosi Tapak Warisan Labuan

By 29 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Program Kembara Citra Sejarah dan Geowarisan 3.0 anjuran Jabatan Muzium Labuan menjadi pentas mempromosi dan melestarikan tapak-tapak warisan di Labuan serta mengenali rapat sosio-budaya wilayah tersebut.

Menurut Pengarah Muzium Labuan, Muhammad Azam Adnan, program itu mampu memberi kesedaran masyarakat setempat untuk memulihara dan mempromosikan tapak-tapak geowarisan lantas menarik para pelancong untuk datang ke Labuan.

“Program ekopelancongan ini merangkumi lawatan kembara ke empat destinasi persinggahan geowarisan di Labuan iaitu tapak warisan Stesen Trigonometri Bukit Timbalai 1948, Tapak Budaya Geopark Labuan Kampung Tradisi Atas Air Bebuloh Laut, Tapak Terowong Bekas Arang Batu Lubok Temiang dan Rumah Bumbung 12 Taman Botanikal Labuan 1854,” katanya semasa ditemui media pada program itu di sini semalam.

Sementara itu, seorang peserta program Awangku Sazali Pengiran Salleh, 45, telah menyertai program anjuran Jabatan Muzium Labuan itu sebanyak tiga kali.

“Walaupun saya dilahirkan dan dibesarkan di Labuan, banyak lokasi bersejarah dan menarik yang saya sendiri tidak ketahui jika tidak menyertai program ini, oleh itu program ini amat besar manfaatnya dari segi ilmu pengetahuan terutama sejarah dan geowarisan di Pulau Labuan.

“Ia membantu saya dalam mempromosi dan menyalurkan maklumat mengenai lokasi-lokasi ini kepada penduduk Labuan dan pelancong luar melalui media sosial,” katanya yang turut berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Seorang lagi peserta yang ditemui, Ali Rahim Brahim, 46, merasakan program itu merungkai kekuatan nilai sejarah yang ada pada Labuan.

“Program ini memberi kesedaran kepada saya bahawa Labuan menyimpan banyak nilai sejarah dan geowarisan yang sungguh bernilai dan harapnya lebih ramai masyarakat dapat mengikuti program ini agar kita semua lebih cakna dengan keistimewaan yang ada di pulau ini,” katanya.

Kira-kira 30 orang wakil daripada agensi kerajaan, industri pelancongan, institut pendidikan, persatuan, golongan belia dan komuniti setempat menyertai program itu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda