Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Menguasai ICT Bantu Pertingkat Keberkesanan Penyebaran Dakwah

By 18 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh

TAWAU, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Penguasaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan ahli Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu bagi mempertingkatkan keberkesanan penyebaran dakwah di Sabah.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pengguna ICT adalah kaedah dakwah yang boleh digunakan dalam menghadapi cabaran serangan globalisasi masa kini.

“Pendakwah perlu terlibat sama dalam perkembangan teknologi supaya boleh mendekati masyarakat pada bila-bila masa, situasi dan keadaan.

“Selain kita menggunakan metodologi dakwah secara konservatif, para pendakwah juga perlu maju mengikuti peredaran zaman supaya tidak dipandang jumud,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan USIA Bahagian Tawau, di sini pada Isnin.

Tambahnya, sebagai ahli dalam pertubuhan agama terbesar dan paling lama di negeri ini, USIA perlu terus dilihat relevan menjalankan peranannya dalam gerakan dakwah di Sabah.

“Kerajaan negeri telah memberikan peruntukan untuk pembaikan semula bangunan USIA Sabah di Kota Kinabalu supaya dapat dijadikan pusat utama gerakan aktiviti dakwah di seluruh negeri.

“Selain itu, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan USIA menubuhkan Pusat latihan vokasional dan teknik (TVET) untuk lepasan Maahad Tahfiz di Kota Marudu,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam berharap USIA Tawau dapat mengekalkan dan meningkatkan peranannya dalam mengembangkan dakwah di daerah ini.

“Bagi tahun ini sahaja banyak program besar yang telah dianjurkan termasuklah Forum Madani, Sambutan Maulidur Rasul, Majlis Tawau Berselawat bersama Ustaz Abdul Somad dan banyak lagi.

“Oleh demikian saya sebagai salah seorang pemimpin di daerah ini, saya sangat menghargai segala pengorbanan dan perjuangan yang telah ditunjukkan oleh USIA Tawau selama ini,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda