Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

RM168.7 Juta Peruntukan Menangani Kesesakan Tambak Johor

By 11 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nazira Naszeri/Najib Mohaini

JOHOR BAHRU, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM168.70 juta dalam menangani kesesakan di pintu sempadan negara iaitu Tambak Johor yang turut merangkumi tiga projek fizikal dan pemberian insentif pintu masuk kepada Pegawai Imigresen yang bertugas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pemberian insentif pintu masuk ini melibatkan Pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), KLIA1 dan KLIA2 serta bertujuan untuk menjaga kebajikan anggota yang selari dengan konsep ihsan di bawah kerangka Malaysia MADANI.

“Tambahan 77 MBIKE dengan kos keseluruhan sebanyak RM61.7 juta adalah merangkumi 44 MBIKE di BSI dengan anggaran kos sebanyak RM33.9 juta dan 33 MBIKE di KSAB dengan anggaran kos tambahan sebanyak RM27.7 juta.

“Peruntukan bagi penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di KSAB pula berjumlah RM106.9 juta manakala kos pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor akan diperincikan kemudian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 2 Tahun 2023 secara atas talian yang diadakan di Kompleks CIQ BSI, di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah pengembara di kedua-dua ICQS dijangka terus meningkat kepada sekitar 136 juta pada penghujung tahun 2023 iaitu menyamai statistik pada tahun 2019 (pra COVID-19).

Turut bersama dalam mesyuarat, Menteri Besar Johor YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Kerja Raya YB Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital YB Teo Nie Ching serta ketua-ketua jabatan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda