
Laporan/foto: Mohd Zahari Zakaria/Shamsul Bahari (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 338 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima insentif tunai, sijil penghargaan dan pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Insentif tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow sempena Majlis Anugerah Cemerlang STPM dan SPM Tahun 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Dewan Besar UITM Pulau Pinang, di sini semalam.
Chow dalam ucapan perasmian, berkata pemberian insentif kewangan tersebut adalah sebagai pemangkin semangat pelajar untuk lebih mampan dan berdaya saing.
“Pencapaian pada tahun 2022 lebih membanggakan kerana gred purata negeri (GPN) meningkat sebanyak 0.17 daripada 4.6 kepada 4.77 berbanding tahun 2021,” katanya.
Beliau mewakili seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar yang berjaya mengharumkan nama negeri dari segi akademik dalam peperiksaan STPM dan SPM pada tahun lalu.
Sebanyak 24 sekolah berjaya mencapai 100 peratus iaitu kesemua calon berjaya mendapat sijil SPM bagi tahun 2022 manakala bagi STPM pula sebanyak 16 daripada 25 sekolah kerajaan yang mendaftar untuk calon STPM telah mencapai keputusan penuh 100 peratus yang mana seramai 2007 calon layak mendapat sijil.
Seramai 265 pelajar cemerlang SPM menerima sijil penghargaan dan saguhati sebanyak RM500 manakala seramai 73 pelajar cemerlang STPM dengan PNGK 4.0 menerima sijil penghargaan serta wang saguhati RM 1,000.
Pelajar pendidikan berkeperluan khas STPM dan SPM turut menerima Sijil Penghargaan dan Anugerah Pelajar Terbaik Pelajar Istimewa (Khas) serta wang saguhati sebanyak RM500.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyampaikan Anugerah Sekolah Terbaik SPM dan STPM kepada enam sekolah di mana Maktab Rendah Sains MARA Kepala Batas adalah sekolah terbaik dan cemerlang SPM manakala bagi STPM disandang oleh SMJK Chung Hwa Confusion dan masing-masing membawa pulang trofi serta wang tunai.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Fahmi Zainol, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Rashid Zainol dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah.
-ZS-